Pilihanraya Umum ke XII Mac ini?
Posted by offshoreman on January 25, 2008
http://bigdogdotcom.wordpress.com/
Parti parti politik komponen Barisan Nasional (BN) semenjak enam bulan kebelakangan ini giat membuat perlbagai kursus untuk jentera pilihanraya mereka, termasuk latihan “dry run”. Difahamkan, semua parti parti politik komponen BN diberikan jadual akhir 25 Februari 2008 untuk menentukan bendera, banner dan sepanduk sedia ditempah dan cetak.
Setiausaha setiusaha Bahagian UMNO seluruh Negara juga sibuk menyediakan senarai bakal bakal calon, untuk diteliti oleh peringkat Perhubungan UMNO Negeri, sebelum dimajukan ke peringkat Ibu Pejabat UMNO agar senarai akhir ditimbangkan oleh pucuk pimpinan parti.
Proses mengemas kini jentera pilihanraya dan menyenarai pendek bakal bakal calon, samada diperingkat Perhubungan Negeri atau Bahagian mula menimbulkan ‘perebutan’, ‘pertembungan’ dan ketidak seragaman sehingga dibawa ke perhatian media, seperti apa yang berlaku diPerlis minggu lepas.
Baru baru ini Timbalan Presiden UMNO Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Razak, merangkap Timbalan Pengerusi BN membuat kenyataan bahawa bakal bakal calon BN akan diteliti dan perhalusi untuk menentukan mereka bebas dari sebarang ‘kontroversi’ dan ‘skandal’, setelah timbul kontroversi seksual melibatkan Menteri Kesihatan Dato’ Seri Dr. Chua Soi Lek, merangkap Naib Presiden MCA. Cadangan ini disokong kuat Ketua Pemuda BN Dato’ Seri Hishamuddin Hussein.
BN kini dibawah ‘tekanan’ dan ‘tanggung jawab’ berat dan rumit untuk mengekalkan penguasaan 90% Dewan Rakyat, yang berjaya diperolehi Pilihanraya Umum ke XI 21 Mac 2004 semenjak pelbagai isu mengenai kelemahan dan kegagalan Kepimpinan PM ‘Flip-Flop’ Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi sepanjang empat tahun ini, walaupun ada poll menunjukan majoriti rakyat masih lagi kuat menyokong BN. Mengambil alih monopoli penguasaan Kelantan oleh PAS semenjak Pilihanraya Umum ke VIII 1990 merupakan salah satu agenda utama BN pusingan ini.
Pakatan Pembangkang juga memperhebatkan kempen mereka. Ini jelas dengan penglibatan pemimpin pemimpin mereka dalam pelbagai demonstrasi jalanan tanpa permit kebelakangan ini, lebih lebih lagi semenjak kekalahan teruk Pembangkang dalam empat pilihanraya kecil kebelakangan ini, terutama akibat permasalahan dalaman dan intra-Pembangkang itu sendiri. Pencaturan pemimpin Pembangkang untuk mencari ‘tapak’ dan ‘peranan’ sesuai juga makin teserlah.
Krisis peringkat global harga asas minyak mentah yang kini hampir mencecah USD 100.00 setong merupakan satu perkara yang amat perlu ditimbangkan Kerajaan BN. Ini kerana ‘tekanan’ untuk menaikan harga runcit bahan bakar hidrokarbon, yang sediada pada RM 1.92 se liter untuk petrol premium. Kali terakhir harga runcit dinaikan ialah Mac 2006 dan harga minyak mentah masa itu baru mencecah USD 60.00. Dianggarkan subsidi bahan bakar tahunan Negara kini berada pada RM 45 billion setahun dan Kerajaan tidak mampu bertahan lama dengan subsidi setinggi ini. Oleh demikian, harga runcit terpaksa dinaikan segera. Oleh itu, pilihanraya perlu diadakan segera sebelum harga runcit bahan bakar dinaikan kerana sebarang kenaikan akan ada kesan ’spiral’ meruncing kepada semua barangan dan perkhidmatan lain dan semestinya ini akan menjejaskan sokongan rakyat.
Kemungkinan besar Pilihanraya Umum ke XII Mac 2008 ini semakin jelas, memandangkan persediaan dan persiapan yang telah dan sedang dijalankan oleh parti parti politik komponen BN dan kesempatan cuti sekolah bermula 8 Mac 2008 (7 Mac bagi negeri negeri Kelantan, Kedah, Perlis dan Terengganu) adalah peluang terbaik kerana 10,000 sekolah sekolah merupakan pusat pembuangan undi paling utama seluruh negara.
Untuk berita terkini sila lawati laman web http://www.malaysiakini.com